26 Julai 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Ketika kes pandemik COVID-19 masih sedang menggila, isu atau kes bersabit dengan minuman keras masih kedengaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Antaranya termasuklah isu arak termasuk dalam barangan keperluan (essential) atau tidak dan aktiviti penghasilan arak secara komersial.

Selain itu, timbul juga isu penjualan arak di premis perniagaan, memandu dalam keadaan mabuk, bunuh diri disebabkan mabuk, dan kes memberi bayi yang belum mengerti apa-apa meminum arak.

Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang berdegil mahu menghasilkan, menjual dan mendapatkan arak meskipun negara sedang dilanda dengan ujian berat sebegini? Adakah hal ini memberikan kebaikan kepada masyarakat atau sekadar memuaskan nafsu mazmumah dan mencari keuntungan semata-mata? Mengapa mereka tidak sensitif dan cakna dengan hal yang melibatkan kemurkaan Allah SWT ini?

Ajaran Islam mengharamkan arak tanpa mengira situasi, masa dan tempat. Seseorang yang beragama Islam atau lebih-lebih lagi orang yang mengaku memperjuangkan Islam perlu berani dan tegas menyuarakan ketetapan perintah agama Islam ini.

Islam bukan mengharamkan arak secara “suka-suka”, tetapi disebabkan kesan kemudaratan terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Banyaknya laporan kes kemudaratan yang melibatkan arak sejak belakangan ini sudah memadai untuk membuktikan sebab Islam mengharamkan arak. Kemudaratan yang jelas terpapar ini juga sebagai bukti kukuh bahawa arak tidak termasuk dalam barangan keperluan masyarakat.

Jika dirujuk daripada kitab fiqah seperti Fiqh al-Manhaji, dijelaskan bahawa hukum haram meminum minuman yang memabukkan sama ada arak (khamr) yang dibuat daripada perahan anggur ataupun bukan arak yang dibuat daripada sumber lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (Surah al-Ma’idah 5:90).

Dalam ayat ini, perintah supaya menjauhi arak lebih kuat berbanding dengan tegahan meminumnya. Perintah tegahan semata-mata tidak meliputi tegahan lain yang berkaitan dengannya, seperti melayan seseorang peminum, membeli atau menjualnya.

Perintah agar menjauhinya pula bermaksud amaran supaya menjauhi segala perkara yang berkaitan dengan arak seperti minum, membeli, menjual, membawa, dan sebagainya.

Jika diteliti, ayat 60 daripada Surah al-Ma’idah sebelum ini hanya mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur. Namun begitu, pada hakikatnya pengharaman tersebut tidak terhad pada arak yang diperbuat daripada perahan anggur, tetapi termasuk juga semua minuman yang boleh memabukkan.

Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud, “Semua yang memabukkan adalah haram”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menjelaskan maksud arak ialah semua benda yang memabukkan. Maka itu, walau apa-apa pun nama yang diberikan, hukum meminumnya sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Ijmak ulama sepakat mengatakan bahawa pengharaman arak diperintahkan kerana arak memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama pada semua minuman yang memabukkan tanpa tanpa mengira apa-apa juga bahan buatannya.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abu Malik bin al-Asy‘ari r.a. bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah).

Kita sering mendengar bahawa arak itu memabukkan. Mabuk bermaksud pemikiran terlalu kacau dan tidak waras yang menghalang fungsi akal untuk mengawal pemikiran atau perilaku dengan bijak. Maksud memabukkan pula ialah sesuatu keadaan yang biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya.

Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu yang pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar yang diminum itu sampai had yang memabukkan ataupun tidak. Begitu juga sama ada mengakibatkan peminum itu mabuk ataupun tidak.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila benda yang banyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram”. (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah).

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Aisyah r.anha katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram”. (Hadis riwayat al-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Allah SWT mengharamkan arak kepada manusia bertujuan untuk memelihara nikmat akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dengan nikmat akal, Allah SWT membezakan dan memuliakan manusia berbanding dengan makhluk lain. Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung pada kesempurnaan dan kekuatan akal.

Oleh itu, semua minuman yang memabukkan akan merosakkan akal sehingga menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihan fungsi akal. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, tidak terkawal, dikuasai oleh hawa nafsu dan timbul perasaan saling membenci.

Arak menyebabkan seseorang hilang kewarasan akal sehingga mencetuskan banyak kemudaratan lain.

Kesan yang lebih parah lagi apabila timbul  persengketaan dalam kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang perasaan kasih sayang. Manusia yang mabuk ini ialah manusia yang tidak berjiwa manusia.

Lebih menyedihkan lagi apabila kesan meminum arak ini akan menghalang manusia mengingati Allah SWT dan menjauhkan mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Ma’idah 5:91).

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud, Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” (Hadis riwayat al-Hakim).

Kemudaratan yang disebabkan oleh arak telah disahkan dalam al-Quran. Orang yang mabuk pula menjadi penyebab berlakunya banyak kerosakan, kemusnahan dan kehilangan nyawa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization (WHO)) turut mengesahkan bahawa tiada paras bacaan indeks yang selamat bagi minuman beralkohol.

Oleh hal yang demikian, wajarlah seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk sama-sama menghindarkan diri daripada hanyut semua aktiviti yang berkaitan dengan arak.

Arak sememangnya terbukti menjadi ibu bagi segala kerosakan dalam masyarakat, kemaksiatan, perpecahan, keruntuhan rumah tangga dan kemalangan. Oleh sebab itulah, Islam amat bertegas bahawa perbuatan meminum arak merupakan satu maksiat yang wajib ditinggalkan.

Marilah kita sama-sama berdoa agar negara kita yang tercinta ini terus maju dan bebas daripada segala perkara yang dimurkai Allah SWT yang tidak memberikan manfaat kepada bangsa dan negara. Semoga doa ini menjadi asbab Allah SWT mengangkat kembali ujian berat yang kita tempuhi ini agar kita dapat hidup dalam suasana tenang tanpa tekanan.


Mohd Shukri Hanapi (Dr.) ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.