8 Julai 2021, 18:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini membuat ketetapan baharu berhubung dengan had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Aidiladha di surau dan masjid Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pengarahnya, Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail dalam kenyataannya berkata, ketetapan baharu itu mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan akan berkuat kuasa esok (Jumaat).

Menurutnya, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jemaah bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 300 orang, manakala di lapan buah masjid pusat zon seramai 100 orang.

“Di masjid kariah dan surau Jumaat, bilangan jemaah dibenarkan seramai 50 orang, surau diberi kebenaran khas seramai 40 orang, dan surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibenarkan seramai 12 orang,” katanya

Selain itu, bagi solat fardu di kawasan PKP, bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 100 orang, dan bilangan jemaah di lapan buah masjid pusat zon dibenarkan seramai 50 orang.

“Bilangan jemaah di masjid kariah dan surau pula dibenarkan seramai 30 orang, surau diberi kebenaran khas untuk solat Jumaat seramai 20 orang, dan surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam DBKL, serta semua surau seramai 12 orang,” tambah beliau.

Sementara itu, bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, solat fardu dilaksanakan dengan tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau, manakala solat Jumaat digantikan dengan solat zuhur.

“Walau bagaimanapun, semua ketetapan tersebut tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. Semoga seluruh umat Islam, khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan terus mematuhi SOP yang ditetapkan, dan bermunajat serta berdoa agar penularan COVID-19 segera berakhir,” katanya.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.