7 Julai 2021, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Istilah gender ketiga merujuk gender lain, selain daripada lelaki (gender pertama) dan perempuan (gender kedua) yang menjadi jantina asal bagi seseorang. Golongan ini merupakan satu produk LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender), iaitu transgender. Mereka ditandai sebagai seseorang yang mempunyai identiti diri, berperasaan atau penampilan jantina yang berlawanan, namun mereka bukanlah khunsa.

Masyarakat awam selalunya mengenali golongan transgender melalui perwatakan lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki. Sebahagian mereka dikatakan turut bertindak menukar organ kelamin melalui kaedah pembedahan (transeksual).

Dalam erti kata lain, gender ketiga ialah gender lain yang terkeluar daripada maksud lelaki dan perempuan tulen.

Perbincangan mengenai gender ketiga ini menjadi perhatian rakyat Malaysia apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pada 14 Jun 2021, telah menerbitkan iklan tawaran permohonan kajian berkaitan dengan gender ketiga. Menurut laman sesawang SUHAKAM (https://suhakam.org.my/), kajian tersebut akan memfokuskan “Research on Feasibility of Having Legislation on The Recognition of a Third Gender in Malaysia”.

Berdasarkan tajuk ini, dapatan kajian dijangka bertujuan untuk mencadangkan undang-undang khusus bagi mengiktiraf golongan gender ketiga di Malaysia. Dalam hal ini, pelbagai pihak bangkit membuat bantahan terhadap usaha SUHAKAM itu. Menteri Hal Ehwal Agama Islam, pada kenyataannya menegaskan bahawa Malaysia kekal menolak pengiktirafan kepada gender ketiga.

Amat mendukacitakan apabila permasalahan sebegini bukan pertama kali ditimbulkan oleh SUHAKAM. Sebelum ini, banyak isu kontroversi yang mereka perjuangkan atas nama hak asasi manusia.

Sebagai contoh, SUHAKAM pernah mengeluarkan kenyataan mempertahankan hak golongan LGBT. Mereka turut menolak amalan khatan bagi umat Islam di Malaysia. Baru-baru ini SUHAKAM juga memperjuangkan hak pekerja seks (industri pelacuran) agar dilindungi oleh undang-undang.

SUHAKAM seolah-olahnya tidak memperdulikan langsung sensitiviti rakyat Malaysia. Oleh sebabkan, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) secara jelas mendesak agar kerajaan merombak SUHAKAM kerana “terlalu pekat” dengan kerangka liberalisme Barat sehingga mengetepikan keluhuran Perlembagaan dan nilai-nilai di Malaysia.

Walau bagaimanapun, SUHAKAM dalam responnya terhadap kritikan tersebut menyatakan bahawa SUHAKAM harus diberikan kebebasan untuk mengkaji keperluan undang-undang khusus bagi mengiktiraf jantina ketiga di Malaysia. SUHAKAM tidak boleh menidakkan hak asasi golongan tersebut semata-mata kerana mereka golongan transgender.

Bagi SUHAKAM, gender ketiga melibatkan mereka yang dilahirkan lelaki atau perempuan, tetapi mempunyai “jiwa” yang bertentangan dengan fitrahnya. Maka itu, transgender merupakan satu “medical condition” yang tidak dapat dirawat dan akan membelenggu seseorang itu seumur hidup.

Berdasarkan kenyataan tersebut, beberapa penjelasan perlu diketengahkan agar rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, tidak terpengaruh dengan idea hak asasi manusia berkenaan.

Sorotan sejarah mencatatkan bahawa sekitar 4000 tahun yang lalu, perihal LGBT ini terutamanya homoseksual telah menjadi amalan kaum Nabi Lut a.s. yang tidak beriman. Kisah tersebut dirakamkan oleh Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran, seperti Surah al-A‘raf 7:80 hingga 81 dan Surah al-Syu‘ara’ 26:165 hingga 166.

Allah SWT memerintahkan Nabi Lut a.s. berdakwah kepada kaumnya supaya meninggalkan perbuatan mungkar itu. Malangnya, segala teguran dan nasihat yang diberikan tidak diendahkan oleh mereka.

Akhirnya Allah SWT menurunkan azab ke atas kota Sodom berupa hujan batu api dan gempa bumi yang sangat dahsyat. Tempat tersebut kini yang menjadi Laut Mati.

Oleh itu, agama Islam mengharamkan perbuatan LGBT termasuk perilaku transgender. Ibn ‘Abbas r.a. meriwayatkan sebuah hadis bahawa “Nabi SAW melaknat al-mukhannas (yang menyerupai perempuan) dalam kalangan lelaki dan al-mutarajjil (yang menyerupai lelaki) dalam kalangan perempuan”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Perlu ditegaskan bahawa pengharaman ini bukan hanya kepada pengamal transgender, bahkan meliputi sesiapa sahaja yang terlibat menyokong perkara mungkar. Dalam kaedah fiqah menyebutkan bahawa “sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram”.

Begitu juga firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu tolong-menolong melakukan kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu tolong-menolong melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”. (Surah al-Ma’idah 5:2).

Berdasarkan penjelasan tersebut, difahami bahawa sebarang usaha menyokong atau membantu untuk mengiktiraf gender ketiga merupakan perbuatan yang dilarang. Sesiapa yang terlibat dikira termasuk dalam golongan “tolong-menolong melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

Pengharaman ini juga bertepatan dengan fitrah asal kejadian manusia, iaitu lelaki dan perempuan, yang diciptakan oleh Allah SWT. Melalui penciptaan tersebut, zuriat manusia terus berkembang melalui jalan perkahwinan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)”. (Surah al-Hujurat 49:13).

Hal ini bermaksud, transgender bukan kejadian dan penyakit semula jadi manusia, sebaliknya usaha tersendiri yang boleh dirawati. Maka pengiktirafan terhadap golongan LGBT, khususnya gender ketiga, jelas bercanggah dengan agama Islam dan fitrah manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Selain itu, usaha mengiktiraf gender ketiga merupakan satu ciri dan agenda liberalisme untuk merosakkan manusia. Mereka kebiasaannya bersembunyi di bekalang Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) dengan hujah setiap manusia tidak boleh didiskriminasi pada semua keadaan. Manusia bebas melakukan apa-apa sahaja yang mereka kehendaki.

Menyedari hakikat tersebut, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 13 hingga 14 April 1982 membincangkan isu transgender pertukaran jantina dan memutuskan bahawa:

  1. Pertukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram dari segi syarak.
  2. Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
  3. Seseorang yang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan walaupun berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan.
  4. Seseorang yang dilahirkan “khunsa musykil” diharuskan melakukan pembedahan bagi mengekalkan satu daripada alat jantina yang benar-benar berfungsi dan dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai.

Fatwa ini kemudian disusuli oleh perakuan daripada Persidangan Majlis Raja-raja kali ke-126 pada 13 Disember 1989 yang memutuskan LGBT sebagai perlakuan yang haram untuk diamalkan sebagai gaya hidup.

Hal ini bererti, pengiktirafan terhadap golongan transgender atau gender ketiga bukan sahaja bercanggah dengan agama Islam dan nilai-nilai rakyat Malaysia. Jika diteliti lagi, hal ini juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri. Perundangan Malaysia hanya mengiktiraf jantina lelaki atau perempuan sahaja.

Tuntasnya, SUHAKAM sama sekali tidak wajar memperjuangkan pengiktirafan terhadap gender ketiga di Malaysia. Tenaga dan dana SUHAKAM sepatutnya digunakan untuk membantu memperkasakan pelbagai program kesedaran dan pemulihan terhadap golongan tersebut. Mereka juga boleh berganding bahu dengan JAKIM bagi melaksanakan program pemulihan terhadap golongan ini.


Muhammad Rashidi Wahab (Dr.) ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi