1 Julai 2021, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Selaras dengan pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga turut mengambil inisiatif dengan mengadakan bantuan Musaadah COVID-19 kepada semua asnaf dan golongan terkesan dalam tempoh pandemik yang bermula pada 18 Mac 2020 hingga hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, Musaadah COVID-19 ini telah digerakkan secara sinergi bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti JAKIM, YaPIEM, MAIWP, YADIM, JAWI JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan TV Al-Hijrah.

“Musaadah COVID-19 mendapat kerjasama erat daripada Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri, serta badan bukan kerajaan dan perusahaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, bermula 1 Januari hingga 28 Jun 2021, Musaadah COVID-19 telah membelanjakan sebanyak RM160.4 juta untuk membantu golongan yang terkesan. Jumlah keseluruhan perbelanjaan dan agihan sejak Mac 2020 hingga Jun 2020 sudah melebihi RM0.5 bilion.

“Agihan diberikan dalam bentuk wang tunai, dana perniagaan, latihan kemahiran, bank makanan, makanan sedia untuk dimakan, wakaf kesihatan (katil dan monitor di Unit Rawatan Rapi (ICU), pam picagari, mesin tekanan laluan udara Bi-positif (BIPAP), katil dan bantuan perubatan lain), projek baik pulih serta bina rumah, bantuan komputer riba, dan sebagainya,” katanya.

Zulkifli berkata, Musaadah COVID-19 diwujudkan dengan tujuan yang sama dengan pakej PEMULIH dan pakej bantuan kerajaan yang lain, iaitu bagi memastikan golongan asnaf dan penerima manfaat mempunyai wang untuk berbelanja, serta meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Musaadah ini juga bertujuan untuk meringankan bebanan yang perlu ditanggung oleh mereka akibat kehilangan pendapatan semasa fasa pemulihan.

“Dengan pengumuman YAB Perdana Menteri tersebut, saya percaya lebih ramai golongan asnaf dan rakyat terkesan akan menerima manfaat dan diringankan bebannya. Walau bagaimanapun, bantuan Musaadah tetap akan diteruskan. Hal ini bagi memastikan tiada rakyat terkesan yang tercicir dan tertinggal daripada dibantu.

“Tanggungjawab sesebuah kerajaan adalah untuk memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan walaupun dalam tempoh yang sukar. Maka kita akan pastikan tidak ada golongan yang layak menerima bantuan akan tercicir daripada menerima bantuan tersebut,” ujar beliau.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.