30 Jun 2021, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kita sedang berada pada era teknologi yang berkembang terlalu pantas. Banyak aplikasi media sosial yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja hanya menerusi  Internet dalam telefon pintar masing-masing.

Tidak dapat dinafikan, kecanggihan dunia teknologi komunikasi ini membuatkan masyarakat memperoleh maklumat dengan sekelip mata. Rangkaian komunikasi bergerak pantas sehingga masa dan tenaga dapat dijimatkan untuk mendapat maklumat mutakhir.

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melibatkan beberapa fasa bagi mengekang penularan wabak COVID-19 mempengaruhi peratusan peningkatan penggunaan Internet. Keadaan ini mendedahkan masyarakat kepada pelbagai berita yang tular dalam capaian Internet telefon pintar contohnya menerusi Whatsapp serta akaun media sosial masing-masing, seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan sebagainya.

Pelbagai maklumat diperoleh dengan mudah termasuk berita palsu, cerita fitnah, gambar tidak bermoral, dan kisah peribadi orang lain.Berita ini tidak perlu dicari, sebaliknya datang tanpa diundang menerusi aktiviti penularan berita tanpa usul periksa. Dalam media sosial pula, berita tular seumpama itu amat mudah menjengah dalam akaun setiap pengguna kerana jumlah capaian berita tersebut yang sangat tinggi.

Bagi mendepani situasi yang tidak sihat ini, setiap Muslim perlu berwaspada bagi memanfaatkan kemudahan teknologi komunikasi. Umat Islam tidak boleh menjadi golongan yang mundur di dunia moden dengan menolak kepesatan teknologi komunikasi, namun sewajibnya setiap tindakan didasari dengan ketetapan syariat Islam.

Perkara yang halal dalam Islam sangat jelas, begitu juga dengan perkara yang haram. Setiap umat Islam hendaklah tahu membezakan antara perbuatan yang mengundang pahala dengan perbuatan dosa.

Oleh itu, umat Islam perlu bijak menguruskan penyebaran sesuatu maklumat pada zaman tular ini. Dalam keadaan manusia berlumba-lumba menularkan maklumat tanpa memikirkan pahala dan dosa, umat Islam mesti mengingatkan diri masing-masing tentang asas-asas penting yang ditetapkan oleh agama Islam.

Antara perkara penting yang perlu dijadikan keutamaan oleh setiap umat Islam termasuklah mengutamakan prinsip tabayyun. Tabayyun merupakan usaha yang tidak mudah dilakukan kerana memerlukan ketelitian dan ketepatan untuk mengetahui perkara sebenar di sebalik maklumat yang diterima.

Apatah lagi jika sesuatu maklumat tersebut tidak diketahui sumbernya secara sahih. Allah SWT memberikan peringatan tentang kepentingan tabayyun terhadap suatu maklumat yang diterima. Apatah lagi jika datang daripada orang fasik.

Pihak yang menyebarkan sesuatu maklumat dengan menyembunyikan identiti sebenarnya juga termasuk dalam perbuatan orang fasik. Selain bergelumang dengan dosa dan maksiat, orang fasik juga ialah mereka yang menyebarkan sesuatu maklumat untuk tujuan yang merosakkan. Mereka gemar mencipta kemungkaran, seperti pertelingkahan sesama manusia, budaya menyebar fitnah dan menyingkap keaiban peribadi orang lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun, untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat 49:6).

Dalam kitab Safwah al-Tafasir, Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni menjelaskan bahawa sekiranya seseorang didatangi oleh orang fasik yang tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, maka perkhabaran yang dibawanya perlu disemak kesahihannya.

Kita perlu menyemak berita yang dibawa oleh orang fasik supaya tidak menyesal pada hari kemudian akibat mempercayai berita dusta. Demikianlah cara Islam menutup pintu penyesalan akibat menerima bulat-bulat berita yang disampaikan oleh orang fasik tanpa usul periksa.

Selain itu, perbuatan tabayyun bukanlah lesen untuk menyebarkan sesuatu maklumat sewenang-wenangnya. Meskipun sesuatu yang diterima itu telah disahkan kebenarannya, namun tidak semestinya ditularkan kepada orang lain. Islam amat prihatin dalam hal ini kerana tidak semua maklumat mesti disensasikan kepada khalayak.

Semuanya berbalik kepada niat orang yang menerima maklumat yang ditularkan dalam media sosial. Cerita hal rumah tangga orang lain meskipun benar, tidak boleh disebarkan kerana akan mengundang suasana yang tidak harmoni dalam kehidupan bermasyarakat. Orang yang membaca dan menyebarkan cerita berkaitan dengan kisah rumah tangga orang lain mungkin suka melihat sisiapa yang terlibat berasa kecewa dan menderita.

Oleh itu, Islam menasihatkan umatnya agar berhati-hati mengurus setiap maklumat yang diterima. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Daripada tanda baiknya Islam seseorang, ialah apabila dia meninggalkan sesuatu perkara yang tidak bermanfaat baginya”. (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Zuhd ‘an Rasulillah, no. 2318).

Antara perkara yang tidak membawa manfaat kepada seseorang termasuklah yang melibatkan hal rumah tangga orang lain. Jika Islam menetapkan agar setiap Muslim meninggalkan cerita seumpama ini, maka tidak wajar sama sekali cerita tersebut disebarkan kepada orang lain tanpa tujuan yang baik.

Jika maklumat yang bersifat benar pun tidak semudahnya disebarkan, apatah lagi jika melibatkan berita palsu. Setiap umat Islam perlu menyedari bahawa perbuatan menyebarkan maklumat yang tidak benar mahupun belum pasti kebenarannya termasuk dalam usaha yang mendatangkan dosa. Para nabi Allah SWT juga mempunyai pelbagai cabaran seperti berdepan dengan pendustaan yang dilakukan oleh manusia dan jin yang diibaratkan seperti syaitan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang dusta) itu”. (Surah al-An’am 6:112).

Maklumat yang tular dengan cepat biasanya berpunca daripada tindakan orang yang mudah bercakap apa-apa sahaja perkara yang didengarinya. Mungkin orang seperti ini tidak mempunyai niat jahat di sebalik penceritaannya kerana sekadar bercakap perkara yang didengarinya sahaja. Walau  apa-apa pun alasannya, perbuatan seperti ini tetap dilarang oleh Islam.

Larangan ini dapat difahami berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud, “Cukuplah seseorang itu dikatakan berdusta, sekiranya dia menyampaikan setiap apa-apa yang didengarinya”. (Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Adab, no. 4992).

Ingatlah bahawa perbuatan dusta bukan sesuatu yang remeh kerana perbuatan ini termasuk dalam ciri-ciri golongan munafik yang akan ditempatkan di dalam neraka.

Firman Allah SWT bermaksud, “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka”. (Surah al-Nisa’ 4:145).

Setiap Muslim perlu akur dengan ketetapan Islam tatkala berdepan dengan zaman tular yang sangat dahsyat. Kadangkala manusia seakan-akan tidak mengendahkan soal dosa dan pahala kerana begitu mudah menerima dan menyebarkan sebarang maklumat yang diterimanya kepada orang lain pula.

Tanpa disedari perbuatan tersebut menampakkan sikap tidak adil dan tidak berlaku ihsan terhadap orang lain. Kebanyakan maklumat yang tular bersifat sensasi, tidak benar, membuka keaiban orang lain, dan seumpamanya. Sedangkan Allah SWT memerintahkan agar setiap orang berlaku adil dan ihsan terhadap orang lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil (al-‘adl) dan berbuat kebaikan (al-ihsan)”. (Surah al-Nahl 16:90).

Sematkanlah dalam minda bahawa setiap maklumat yang tular belum tentu kandungannya benar. Sesuatu maklumat yang benar sekalipun belum tentu boleh ditularkan sewenang-wenangnya kepada orang lain. Dalam zaman tular ini, berusahalah menyelamatkan diri daripada terjerumus dalam lembah dosa dengan sentiasa mengawal jari-jemari sendiri tatkala mendapat sesuatu maklumat.


Mohd Shahrizal Nasir ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.