17 Jun 2021, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 akan dijadikan sebagai penanda aras bagi format baharu peperiksaan tersebut yang dimulakan pada tahun 2020.

“Keputusan STAM tahun 2020 tidak akan dibandingkan dengan peperiksaan yang sebelum ini kerana pada tahun ini kita menggunakan format baharu dan kokurikulum baharu,” demikian menurut Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Haji Phkaruddin Ghazali ketika sidang media pengumuman keputusan peperiksaan STAM tahun 2020 yang diadakan secara dalam talian pagi tadi.

Seramai 7277 calon telah mendaftar dalam peperiksaan STAM pada tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, seramai 5574 calon telah menduduki peperiksaan STAM bagi sesi 1 di 236 pusat peperiksaan, manakala peperiksaan sesi 2 pula melibatkan seramai 15 calon di sembilan pusat peperiksaan.

Keputusan STAM 2020 mencatatkan pencapaian yang baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 3.04. Dari segi pensijilan STAM mengikut pangkat, seramai 442 orang calon (7.9 peratus) berjaya memperoleh pangkat mumtaz, 1226 orang calon (22.0 peratus) mendapat jayyid jiddan, 1758 orang calon mendapat jayyid (31.5 peratus), 230 orang calon mendapat maqbul (4.1 peratus), dan 1918 orang calon (34.4 peratus) tidak layak mendapat sijil. Daripada jumlah tersebut seramai 27 orang calon memperoleh mumtaz dalam semua mata pelajaran.

“Peperiksaan STAM tahun 2020 telah menempa sejarah kerana pelaksanaannya telah ditunda sebanyak tiga kali hingga ke tahun 2021 disebabkan penularan wabak COVID-19 dan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020,” ujar beliau.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.