15 Jun 2021, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Haji Zakaria dikenali sebagai mufti paling kanan yang pernah berkhidmat di Malaysia. Beliau menjadi Mufti negeri Perak selama 36 tahun sejak tahun 1985 hingga beliau meninggal dunia pada 30 Mei 2021. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran agama Islam dan pengurusan fatwa. Masyarakat secara umumnya mengenali beliau sebagai mufti yang lantang bersuara dalam isu akidah, politik dan kenegaraan. Namun begitu, ramai yang kurang menyedari sumbangan beliau dalam bidang kehakiman syariah.

Tan Sri Harussani dilahirkan pada 8 April 1939 di Kampung Parit Tok Ngah, Parit Buntar, Perak. Keluarga beliau berketurunan Banjar dan dibesarkan dalam keluarga pesawah yang taat beragama. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Inggeris di Anglo Chinese School, Parit Buntar.

Walau bagaimanapun, kecintaannya terhadap pendidikan agama Islam sangat mendalam. Oleh itu, beliau nekad melanjutkan pelajaran ke sekolah agama, walaupun jauh dari daerah kelahirannya.

Sekolah yang menjadi saksi kesungguhan Tan Sri Harussani Zakaria.

  1. Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar (1956 hingga 1959).
  2. Sekolah al-Attas, Johor Bahru (1959 hingga 1960).
  3. Kolej Islam Malaya, Klang (1960 hingga 1964).

Beliau berjaya menamatkan pengajian dengan lulus Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang setaraf dengan ijazah sarjana muda Universiti al-Azhar.

Pengalaman kerjaya Tan Sri Harussani Zakaria.

  1. Pegawai penterjemah di Unit Cawangan Khas, Kementerian Dalam Negeri (1964 hingga 1967).
  2. Guru sekolah di Pulau Pinang(1967).
  3. Kadi (Hakim Syarii) Pulau Pinang (1967 hingga 1973).
  4. Kadi Besar (Ketua Hakim Syarii) Pulau Pinang (1973 hingga 1985).
  5. Mufti negeri Perak (1985 hingga 2021).

Penghargaan yang diterima oleh Tan Sri Harussani Zakaria.

  1. Ijazah Doktor Kehormat (Syariah), Universiti Malaya (2001).
  2. Ijazah Doktor Kehormat (Pendidikan Islam), Universiti Pendidikan Sultan Idris (2010).
  3. Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H (2008).
  4. Tokoh Ulama Sepanjang Zaman (2017).
  5. Tokoh Ar-Ridzuan 1439H (2017).

Kurniaan Pingat Darjah Kebesaran Tan Sri Harussani Zakaria.

  1. Darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri (2009).
  2. Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’ (1986).
  3. Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri (1999).
  4. Darjah Dato’ Seri Azlan II (DSA) yang membawa gelaran Dato’ Seri (2009).

Penglibatan dalam Bidang Kehakiman Syariah

Ketika Tan Sri Harussani berkhidmat sebagai Kadi (Hakim Syarii) Pulau Pinang mulai tahun 1967, beliau berdepan dengan masalah untuk menjadi hakim yang berkesan kerana tidak pernah mengikuti kursus rasmi sebagai hakim mahkamah syariah. Panduan atau rujukan rasmi untuk menguruskan perbicaraan di mahkamah syariah juga sukar diperoleh disebabkan kelemahan dan kekurangan sistem, prasarana dan tatacara mahkamah syariah ketika itu jika dibandingkan dengan mahkamah sivil.

Melalui inisiatif sendiri, beliau mendapatkan tunjuk ajar dan panduan daripada seorang hakim mahkamah sivil yang berbangsa Sikh bagi membantunya mempelajari selok-belok pengendalian perbicaraan di mahkamah syariah. Tan Sri Harussani akan meluangkan masa menghadiri perbicaraan di mahkamah sivil untuk melihat proses dan prosedur suatu perbicaraan dijalankan.

Apabila selesai perbicaraan, hakim mahkamah sivil tersebut akan memberikan penjelasan kepada Tan Sri Harussani berkenaan dengan proses dan prosedur yang berlaku sepanjang perbicaraan untuk kefahaman yang lebih jelas. Begitulah usaha gigih beliau sebagai seorang hakim syarii yang tidak malu untuk mempelajari kaedah yang betul dan berkesan sebagai seorang hakim.

Melihat keadaan pentadbiran mahkamah syariah yang serba daif dan kekurangan ini, Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Ahmad Mohamed Ibrahim, seorang pakar undang-undang, telah menggerakkan usaha sejak tahun 1970an bagi memperbaik dan memartabatkan sistem pentadbiran mahkamah syariah di Malaysia. Antara usaha tersebut termasuklah menggubal undang-undang keluarga Islam, undang-undang keterangan syariah, undang-undang jenayah syariah, undang-undang tatacara jenayah dan mal agar kandungannya selaras dengan kehendak hukum syarak dan setanding dengan undang-undang sivil.

Selain itu, program latihan bagi meningkatkan profesionalisme para pegawai syariah telah diperkenalkan seperti program Diploma Pentadbiran Islam dan Kehakiman (Diploma in Administration of Islamic Law and Judiciary (DAIJ).

Sebagai seorang hakim mahkamah syariah, Tan Sri Harussani sempat mengikuti kursus pentadbiran undang-undang Islam yang dikelolakan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di bawah tunjuk ajar Tan Sri Profesor Emeritus Ahmad Mohamed Ibrahim pada penghujung perkhidmatan beliau sebagai Ketua Hakim Syarii Pulau Pinang.

Tan Sri Harussani dan rakan-rakan sejawatnya menghabiskan masa beberapa bulan di UIA Kampus Petaling Jaya bagi mengikut kursus berkenaan. Beliau sempat melihat usaha menaik taraf institusi kehakiman syariah di Malaysia sebelum dilantik sebagai Mufti negeri Perak.

Penulis ketika mengunjungi Tan Sri Harussani di pejabatnya di Kompleks Darul Ridzuan, Ipoh pada tahun 2016.

Penghakiman Tan Sri Harussani Zakaria

Selaku Ketua Hakim Syarii Pulau Pinang, Tan Sri Harussani banyak menulis penghakiman mahkamah syariah dan sebilangannya direkodkan dalam Jurnal Hukum. Kes-kes di bawah bidang kuasa mahkamah syariah ini dibahagikan kepada beberapa kategori yang kebanyakannya dikendalikan oleh Tan Sri Harussani meliputi pertikaian dalam isu tuntutan mutaah, nafkah idah dan harta sepencarian.

Kes-kes ini kemudiannya dijadikan rujukan oleh para hakim syarii bagi memutuskan kes yang dibawa ke mahkamah Syariah.

Berikut merupakan beberapa contoh kes yang pernah diputuskan oleh Tan Sri Harussani sebagai hakim syarii:

1. Tuntutan mutaah (sagu hati pemberian suami kepada isteri setelah berlaku perceraian)

  • Piah binti Said lwn Che Lah bin Awang, JH 3 (2) [1403H/1983] 220.

Dalam kes ini, perceraian berlaku dengan talak oleh suami terhadap isteri dalam keadaan terdapat tanda nusyuz (derhaka) pada pihak isteri. Walaupun begitu, nusyuz tidak menafikan hak mutaah isteri sekiranya nusyuz itu benar-benar berlaku.

Mutaah ialah pemberian yang tertanggung ke atas seorang suami yang menceraikan isteri. Tanggungan mutaah tidak gugur dalam apa-apa jua kes penceraian kecuali jika penceraian itu berlaku disebabkan keaiban di pihak isteri terhadap suaminya atau penceraian kerana mati. Dalam menentukan kadar mutaah, pertimbangan hendaklah diberikan berdasarkan keadaan dan kemampuan pihak suami yang menceraikan.

  • Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63.

Mutaah ialah pemberian yang diwajibkan oleh syarak kerana penceraian yang bukan daripada sebab isteri kerana keabaian yang ada pada dirinya atau fasakh daripada isteri disebabkan iksar suami atau aib yang ada padanya. Pemberian ini bukan diwajibkan kerana kehilangan kasih sahaja, tetapi diwajibkan dalam keadaan isteri menebus talak daripada suaminya.

Mutaah bertujuan untuk menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup sendirian. Seorang isteri yang bercerai akan merasa malu dan mungkin menerima prasangka buruk daripada masyarakat.

Untuk menghilangkan prasangka buruk bahawa seorang diceraikan bukanlah kerana keaiban yang ada pada dirinya, maka mutaah diwajibkan ke atas suami. Seorang isteri yang lazimnya bergantung hidup pada suami akan menghadapi kepayahan untuk melakukan kehidupan sendirian.

Asas mutaah ialah keredaan kedua-dua pihak, tetapi jika tidak mencapai persetujuan, maka penentuan dibuat oleh kadi. Penentuan kadar mutaah telah digariskan oleh syarak dengan nilai kedudukan kaya, miskin dan sifat suami, serta keadaan isteri. Sifat ialah perwatakan dan keadaan ialah kedudukan keluarga atau status keluarga dalam masyarakat. Kaya dan miskin ialah nilai semasa dari segi perolehan dan pemilikan.

Harta sepencarian pula diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga, suami keluar mencari nafkah. Isteri, menurut syarak, berhak mendapat orang gaji untuk menguruskan rumah tangga. Jika tidak, maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada kerja yang mengurangkan tanggungan suami.

***

Selain itu, kes mutaah lain yang telah diputuskan oleh Tan Sri Harussani ialah kes Sharifah lwn Zainal Alam (1978) 1 JH (1): 93, Ramlah lwn Muhammad (1980) 1 JH (2): 77, Normaidiah lwn Azhari (1979) 1 JH (2): 91 dan Zawiyah lwn Ruslan (1980) 1 JH (2): 102.

2. Nafkah idah (nafkah yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri yang diceraikan dalam tempoh idah)

  • Piah binti Said lwn Che Lah bin Awang, JH 3 (2) [1403H/1983] 220.

Idah ialah tempoh masa yang wajib dinantikan oleh seseorang yang diceraikan untuk membolehkannya berkahwin lagi dengan lelaki lain. Tempoh yang ditetapkan oleh hukum syarak adalah seperti berikut:

  • Tiga kali suci haid bagi perempuan yang bercerai ketika suci daripada haid.
  • Setelah melahirkan anak bagi perempuan yang mengandung.
  • Tiga bulan bagi perempuan yang putus haid kerana tua atau yang belum keluar haid kerana masih kecil.

Dalam kes ini, Tan Sri Harussani menghuraikan beberapa prinsip nafkah idah seperti berikut:

  • Seseorang isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah idah selama masa ia beridah. Nafkah itu tidak kurang daripada apa-apa yang lazim dinikmati semasa menjadi suami isteri atau nafkah yang biasa diperoleh semasa mereka hidup bersama.
  • Suami wajib menanggung nafkah terhadap isteri selama isteri itu tamkin (telah diserahkan kepada suami) dan tidak nusyuz.

Tan Sri Harussani menghuraikan lagi hakikat nusyuz dengan mengatakan bahawa isteri wajib taat kepada suami dalam hal-hal yang tidak maksiat kepada Tuhan. Antara perkara yang membawa nusyuz termasuklah keluar dari rumah tanpa izin daripada suami atau tidak kerana sebab yang mengharuskannya keluar dari rumah tanpa izin suami seperti mengelakkan diri daripada sesuatu yang membahayakan atau untuk mendapatkan sesuatu yang syarii seperti membeli makanan kerana ketiadaan makanan di rumah.

3. Harta sepencarian

  • Piah binti Said lwn Che Lah bin Awang, JH 3 (2) [1403H/1983] 220.

Dalam kes ini, Tan Sri Harussani menghuraikan definisi harta sepencarian seperti berikut:

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh secara bersama semasa suami isteri itu hidup bersama dan sama-sama berusaha terhadap harta tersebut sama ada kedua-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau dalam bidang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi dan sama ada dibahagikan-bahagikan tugas atau tidak. Harta sepencarian berbeza dengan harta perkongsian yang mana harta itu diperoleh dengan berkongsi seperti membeli sesuatu dengan pihak mengeluarkan modal.

  • Noor Bee lwn Ahmad Shanusi, JH [1401H] 63

Dalam kes ini pula, Tan Sri Harussani menjelaskan konsep harta sepencarian bersumberkan hukum syarak dan berkait rapat dengan peranan suami dan isteri dalam rumah tangga:

Harta sepencarian diluluskan oleh syarak atas dasar khidmat dan perkongsian hidup. Isteri mengurus dan mengawal rumah tangga, suami keluar mencari nafkah. Isteri, menurut syarak berhak mendapat orang gaji untuk mengurus rumah tangga, jika tidak maka kerja memasak, membasuh dan mengurus rumah hendaklah dianggap sebagai sebahagian daripada kerja yang mengurangkan tanggungan suami.

Prinsip yang digariskan oleh Tan Sri Harussani dalam beberapa kes mahkamah syariah ini telah dirujuk oleh para hakim syarii dalam ratusan kes mahkamah Syariah berikutnya. Sebagai contoh, dalam kes Tengku Puteri Zainah lwn Dato’ Seri Mohd Najib JH (1419) H 1, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan ketika memutuskan isu tuntutan mutaah oleh perayu telah merujuk lima kes mahkamah syariah dan kelima-limanya telah diputuskan oleh Tan Sri Harussani, iaitu:

  • Sharifah lwn Zainal Alam (1978) 1 JH (1): 93.
  • Nor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63.
  • Ramlah lwn Muhammad (1980) 1 JH (2): 77.
  • Normaidiah lwn Azhari (1979) 1 JH (2): 91.
  • Zawiyah lwn Ruslan (1980) 1 JH (2): 102.

Pengiktirafan yang diberikan oleh mahkamah rayuan syariah yang ketika itu dipengerusikan oleh Tan Sri Profesor Emeritus Ahmad Mohamed Ibrahim telah menunjukkan kualiti penghakiman yang bermutu tinggi oleh Tan Sri Harussani, sehingga banyak kes yang diputuskannya sentiasa menjadi sumber rujukan secara langsung tanpa sebarang kritikan atau pertikaian.

Contoh lain yang boleh diberikan ialah penghakiman Tan Sri Harussani dalam kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi, JH [1401H] 63. Penghakiman ini telah diikuti dalam puluhan kes seperti kes Norlia bte Abd Aziz lwn Md Yusof bin A Rahman [2004] 5 MLJ 538 [Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu] dan Norlia bte Abd Aziz lwn Md Yusof bin A Rahman [2004] 5 MLJ 538.

Sememangnya, Tan Sri Harussani telah meletakkan legasi yang kukuh dalam bidang kehakiman syariah di Malaysia, terutamanya dari sudut penghakiman bertulis. Beliau telah meninggalkan rantaian Mutiara yang berharga dalam bentuk koleksi penghakiman bertulis kes mahkamah syariah yang diputuskan oleh beliau sejak tahun 1970an. Koleksi penghakiman ini dirujuk oleh para hakim syarii selepas beliau dan penghakiman ini masih relevan hingga hari ini.

Sesungguhnya, sumbangan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Harussani Haji Zakaria yang begitu bernilai ini terbukti keberkesanannya bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran mahkamah syariah di Malaysia. Nyatalah sumbangan beliau tidak hanya terhad dalam bidang pengurusan fatwa dan pentadbiran agama Islam sahaja. Sumbangan berharga inilah sewajarnya dicontohi dan disambung oleh generasi kini.


Mohamaed Hadi Abd. Hamid (Dr.) ialah Ketua Pengurusan Syariah di Etiqa Takaful. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.