9 Jun 2021, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Ekoran terdapat pihak tertentu yang begitu ghairah menyebarkan berita palsu dan menggunakan isu agama untuk menakut-nakutkan rakyat berkaitan dengan vaksin COVID-19, Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama (Geng Ustaz) akan bersama-sama kerajaan dalam Kempen Jom Vaksin untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dan menjelaskan pendirian Islam tentang isu pengambilan vaksin bagi menghindari penyakit.

Ketika ditanya dalam rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Bernama TV pada 8 Jun 2021, presidennya, Ustaz Kamalulhysham Mohd Suhut berkata, Geng Ustaz akan menjadi benteng dan perisai bagi mempertahankan masyarakat daripada golongan yang disifatkannya sebagai toksid tersebut.

“Kita bersama pihak kerajaan dalam perkara yang baik untuk menjadi rakyat yang baik. Nabi menyebut bahawa sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat untuk manusia yang lain. Dalam suasana kita diuji oleh Allah, maka rakyat yang baik akan menyokong apa-apa sahaja yang dibawa oleh kerajaan untuk kesenangan, manfaat dan kesejahteraan kita bersama. Oleh itu, Geng Ustaz akan menjadi benteng dan perisai daripada mana-mana golongan antivaksin yang cuba mencalar atau menggagalkan Kempen Jom Vaksin ini,” katanya.

Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d ayat 11 yang bermaksud, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri”. Dalam ayat tersebut Allah SWT menyeru manusia supaya berikhtiar, dan jika dikaitkan dengan situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara sekarang ini, rakyat haruslah berikhtiar dan berusaha untuk menghindarinya. Satu daripada ikhtiar tersebut merujuk penggunaan vaksin.

Mengulas tentang penolakan golongan tersebut terhadap pemberian vaksin, Ustaz Kamalulhysham berkata, “Dalam Islam, benda yang yakin tidak boleh kita tolak dengan satu perkara melainkan dengan keyakinan. Islam mengajar umatnya kaedah berhadapan dengan sesuatu perkara. Terdapat ambilan hukum dan pandangan pakar perubatan yang boleh digabungjalinkan menjadi satu kombinasi untuk kita faham bahawa Islam agama yang cukup sempurna dan komprehensif.”

Oleh itu, antara usaha yang dilakukan oleh Geng Ustaz termasuklah mengadakan siri ceramah ke seluruh negara, kempen kesedaran melalui saluran televisyen dan media sosial, dan menyediakan pengangkutan ke tempat pemberian vaksin. Mereka juga dalam usaha mengundang orang yang berpengaruh seperti artis dan pendakwah terkenal untuk memberikan sumbangan dalam Kempen Jom Vaksin.

“Kita bukan sahaja menjaga diri kita, bahkan menjaga seluruh masyarakat dan negara. Inilah konsep yang diajarkan oleh Islam. Menjaga nyawa itu satu kefarduan dan menjaga nyawa orang lain juga merupakan perkara wajib yang dituntut,” jelas beliau.

Beliau yakin sasaran kerajaan akan tercapai sekiranya semua pihak bermula dari peringkat tertinggi sehinggalah rakyat jelata turut mengambil peranan. Oleh itu, beliau menyeru setiap orang agar menjadi agen untuk memberikan kefahaman kepada masyarakat sekeliling tentang kepentingan vaksin COVID-19.

“Kalau semua memainkan peranan insya-Allah kita berjaya mencapai sasaran kerana dalam perkembangan terbaharu ini kita lihat kesedaran meningkat dan golongan yang antivaksin ini semakin mengecil apabila tokoh-tokoh masyarakat sudah mula ke hadapan memberikan sokogan mereka,” katanya.

Sebagai kesimpulan, Ustaz Kamalulhysham memetik syair Arab yang berbunyi, “Bilakah akan terbinanya sebuah bangunan kalau engkau bina, tetapi yang lain meruntuhkan.”

“Oleh itu, kalau tidak boleh menjadi vaksin jangan menjadi toksid, kalau tidak boleh membina jangan meruntuh, kalau tidak boleh menampal jangan merobek, dan kalau tidak boleh menolong jangan menghalang orang yang cuba menolong,” ujarnya penuh harapan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi