2 Mei 2021, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramadan … datangnya ditunggu, pulangnya pasti dirindukan. Entah berpeluang atau tidak, kita tidak pernah dijanjikan akan bertemu dengan Ramadan akan datang buat kesekian kalinya. Persoalan yang sering kali muncul, “apakah ini Ramadan yang terakhir?”.

Yang pasti, walau apa-apa pun situasinya, rahmat Ramadan yang dilalui pada saat ini perlu dimanfaatkan dengan 1001 amal kebaikan. Begitu juga amal ibadat yang menuntut 1001 pengorbanan yang pastinya amat berbeza dengan rutin harian yang dilalui pada bulan lain.

Menahan lapar dan dahaga pastinya ujian buat umat Islam. Namun begitu, ganjarannya cukup besar di sisi Allah. Berapa? Tiada siapa yang tahu nilainya. Akan tetapi, yang pasti Allah menyebut, daripada Abu Hurairah r.anhu, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Allah berfirman: Puasa ialah milik-Ku, dan Aku sendirilah yang akan memberikan ganjaran. Orang yang berpuasa itu meninggalkan syahwatnya, makan dan minumnya kerana Aku. Puasa ialah perisai, dan bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan, kegembiraan ketika ia berjumpa dengan Rabbnya. Dan sungguh, bau mulut orang yang berpuasa jauh lebih wangi di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (Hadis riwayat al-Bukhari, hadis no. 6938).

Ternyata, keistimewaan Ramadan bukan hanya nilai ganjaran pahala yang besar sepertimana janji Allah SWT bahkan lebih daripada itu, umat Islam dikurniakan lailatulqadar, malam yang amat dinanti-nantikan oleh semua umat Islam. Pada hakikatnya, malam ini bukan malam-malam biasa. Sebaliknya, lailatulqadar ialah malam yang disifatkan lebih baik daripada 1000 bulan sebagaimana yang disebut dalam Surah al-Qadr ayat ketiga yang bermaksud, “lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan…”.

Persoalannya, bilakah lailatulqadar berlaku? Banyak perbincangan mengenai tarikh berlakunya lailatulqadar sekalipun menjadi rahsia Allah. Yang pasti, bersandarkan kepada hadis sahih, malam tersebut akan muncul pada 10 malam terakhir Ramadan sebagaimana yang disebutkan dalam kebanyakan hadis sahih. Saidatina Aisyah r.anha menyebut, Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan dan bersabda: “Carilah lailatulqadar pada sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, hadis no. 1880).

Dalam sebuah hadis yang lain menyebut, Rasulullah SAW bersabda, “ … pelaksanaan lailatulqadar terjadi pada malam ketujuh daripada sepuluh malam yang akhir,” maka Nabi SAW bersabda: “Sungguh aku melihat bahawa mimpi kalian benar bahawa lailatulqadar terjadi pada sepuluh malam yang akhir. Maka siapa yang mahu mencari lailatulqadar, carilah pada sepuluh malam yang akhir (dari Ramadan).” (Hadis riwayat al-Bukhari, hadis no. 1088).

Pun begitu, daripada 10 malam terakhir Ramadan, terdapat riwayat yang mengkhususkan bahawa lailatulqadar akan berlaku pada malam-malam ganjil antara 10 malam terakhir tersebut.  Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang panjang daripada Abu Salamah, dia berkata: “Aku pergi menemui Abu Sa’id al-Khudri, lalu aku bertanya kepadanya, ‘mahukah anda pergi bersama kami ke bawah pohon kurma lalu kita berbincang-bincang di sana?’. Ia pun pergi dan bercakap-cakap bersama-sama kami. Aku kemudian berkata, ‘ceritakanlah kepadaku apa-apa yang pernah anda dengar daripada Nabi SAW tentang lailatulqadar?’ Dia lalu menjelaskan, ‘Rasulullah SAW melaksanakan iktikaf pada 10 malam yang awal dari Ramadan, dan kami juga ikut beriktikaf bersama Baginda. Lalu datanglah malaikat Jibril berkata, ‘sesungguhnya apa-apa yang kamu cari ada di hadapan kamu (pada malam berikutnya).’ Maka Baginda beriktikaf pada 10 malam pertengahannnya dan kami pun ikut beriktikaf bersama-sama Baginda. Kemudian malaikat Jibril datang lagi dan berkata, ‘sesungguhnya apa-apa yang kamu cari ada di hadapan kamu (pada malam berikutnya).’

Maka Nabi SAW berdiri memberikan khutbah kepada kami pada pagi hari, pada hari ke-20 dari bulan Ramadan, sabdanya: ‘Barang siapa sudah beriktikaf bersama-sama Nabi SAW maka pulanglah, kerana aku diperlihatkan (dalam mimpi) lailatulqadar, namun aku dilupakan waktunya yang pasti. Namun begitu, malam ini ada pada 10 malam-malam akhir dan pada malam yang ganjil. Sungguh aku melihat dalam mimpi, bahawa aku sujud di atas tanah dan air (yang becak). Pada masa itu atap masjid masih dibuat daripada daun dan pelepah pohon kurma, dan kami tidak melihat sesuatu di atas langit sehingga kemudian datang awan dan turunlah air hujan. Maka Nabi SAW solat bersama-sama kami sehingga aku melihat sisa-sisa tanah dan air pada wajah dan hujung hidung Rasulullah SAW sebagai bukti kebenaran mimpi Baginda.’” (Hadis riwayat al-Bukhari, hadis no. 771).

Apa-apa pun, bersandarkan hadis di atas, suatu lafaz hadis menyebut bahawa peristiwa di atas berlaku pada waktu subuh, pada hari ke-21 Ramadan. As-Syafi’e menyebut, hadis tersebut ialah riwayat yang paling sahih. Pun begitu, terdapat beberapa riwayat yang menyebut tarikh yang berbeza daripada tarikh yang disebutkan di atas. Dalam sebuah hadis mengungkapkan, telah menceritakan kepadaku Nu’aim bin Ziyad Abu Thalhah, dia berkata: “Aku mendengar Nu’man bin Basyir berkata di atas mimbar di daerah Himsh, “kami bangun untuk solat malam bersama-sama Rasulullah SAW pada bulan Ramadan, pada malam ke-23 sampai sepertiga malam pertama. Kemudian kami bangun (solat malam) lagi bersama Baginda pada malam ke-25 sampai pertengahan malam. Kemudian kami bangun (solat malam) lagi bersama Baginda pada malam ke-27 sehingga kami menyangkakan bahawa kami tidak mendapatkan kemenangan itu.’ Mereka menamakan kemenangan (al-Falah) itu dengan sahur.” (Hadis sahih riwayat al-Nasai, hadis no. 1588).

Sepintas lalu, apabila bercerita tentang lailatulqadar, kalimah ini diambil daripada dua perkataan iaitu lailah yang bermaksud tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar. Manakala al-Qadr pula bermaksud, kemuliaan atau hukum dan ketetapan. Seterusnya angka 1000 itu pula menunjukkan satu jumlah yang banyak dan besar. Lantas apabila dua perkataan tersebut digabungkan membawa maksud malam yang sarat dengan kemuliaan dan keberkatan. Apatah lagi apabila Ramadan, bulan turunnya al-Quran dan wujudnya anugerah lailatulqadar yang tidak terdapat pada bulan yang lain.

Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.anhu, ia berkata, ketika bulan Ramadan tiba, Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan. Bulan apabila Allah mewajibkan ke atas kalian untuk berpuasa. Satu bulan apabila semua pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup serta syaitan dibelenggu. Pada bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Barang siapa yang tidak mendapat kebaikan malam tersebut, maka sungguh ia tidak mendapatkannya”. (Hadis riwayat Ahmad).

Justeru rebutlah peluang lailatulqadar kerana malam ini hanya datang sekali dalam setahun. Imam Qurtubi berkata: “Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut.  Mereka turun dari setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.”

Sementara itu, imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan, sebahagian ulama mazhab Syafie memindahkan (naqal) riwayat daripada Ibn ‘Abbas r.anhu dengan menyebut: “Menghidupkan lailatulqadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua.”

Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: “Sesiapa yang bertemu dengan lailatulqadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu.” Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam al-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh pada malam lailatulqadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.”

Apa-apa pun, yang pasti, hadirnya lailatulqadar dapat dilihat melalui tanda tertentu.  Antaranya, Ubadah bin al-Somit r.anhu berkata secara marfu’: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya sehingga waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersama-samanya pada hari tersebut.”

Sementara itu, Ubay bin Kaab r.anhu meriwayatkan daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.” Begitu juga dengan Ibn Mas’ud yang mengatakan: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.”

Semoga lailatulqadar menjadi milik kita. Amin …

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.