21 April 2021, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam agama fitrah yang diperlukan dalam kehidupan manusia. Meskipun terdapat segelintir orang Islam yang meninggalkan suruhan agama, malah melakukan larangannya, pasti ada ketikanya mereka kembali mencari agama. Pada kebiasaannya, manusia akan mencari agama tatkala diri ditimpa musibah. Allah SWT ada menjelaskan perihal manusia yang akan mengingati-Nya ketika dalam kesusahan, lantas mereka menadah tangan memohon agar segala permintaan dimakbulkan oleh-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Tuhannya dengan keadaan kembali bertaubat kepada-Nya; kemudian apabila Allah memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurniaan) daripada-Nya, lupalah ia akan segala bahaya yang menyebabkannya merayu kepada Allah sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) daripada jalan Allah. Katakanlah (kepadanya): Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau daripada penduduk neraka.” (Surah al-Zumar 39:8).

Ayat al-Quran tersebut menggambarkan betapa buruknya perangai sesetengah orang yang hanya mengingati Allah SWT ketika berada dalam kesusahan. Golongan seperti ini sebenarnya mengakui keesaan dan keagungan Allah SWT namun dilihat tunduk dengan tuntutan nafsu yang merosakkan keimanan kepada-Nya. Pada akhir ayat tersebut, Allah SWT menjanjikan tempat golongan itu di dalam neraka disebabkan kekufuran yang mereka lakukan.

Kelalaian manusia menyebabkan diri jauh daripada agama. Tambahan pula godaan kenikmatan dunia menjadikan diri lupa bahawa kehidupan yang kekal abadi hanyalah di akhirat nanti. Oleh itu, setiap individu perlu sentiasa diingatkan tentang hakikat kehidupan dunia yang hanya bersifat sementara. Terdapat banyak ayat al-Quran yang mengingatkan manusia tentang realiti kehidupan dunia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurangkan), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan), serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak”. (Surah al-Hadid 57:20).

Selain kembali mengingati Allah SWT tatkala ditimpa kesusahan, satu lagi keadaan yang menampakkan sesetengah orang mencari agama adalah ketika mula hidup berkeluarga. Hal ini boleh disaksikan khususnya melibatkan golongan anak muda yang berhasrat ingin mendirikan rumah tangga.

Inisiatif pihak berkuasa agama yang memperkenalkan kursus persediaan sebelum berumah tangga dan sesi temu duga bagi memeriksa tahap pemahaman agama pasangan yang ingin berkahwin merupakan langkah yang wajar diberikan pujian dan mesti diteruskan. Daripada inisiatif tersebut, setiap pasangan tidak dapat lari daripada mempersiapkan diri dengan ilmu asas berkaitan dengan pelaksanaan ibadat, seperti tatacara berwuduk, pelaksanaan solat fardu, bacaan Surah al-Fatihah, pengetahuan tentang rukun Islam dan rukun Iman, doa-doa harian, dan seumpamanya.

Usaha ini tidak boleh dilihat sebagai perkara yang merumitkan urusan perkahwinan, sebaliknya perlu difahami sebagai persediaan agar setiap pasangan tidak mengabaikan tuntutan agama ketika berumah tangga nanti.

Persediaan ini sebenarnya dapat membantu pasangan yang berumah tangga agar memahami keperluan untuk menguasai asas agama yang wajib diketahui. Orang yang gagal menguasai perkara asas dalam Islam memberikan petunjuk bahawa perkara tersebut tidak menjadi rutin dalam kehidupan mereka. Maka itu, usaha memperkasakan modul kursus praperkawinan perlu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa agar usaha membantu pasangan yang ingin berumah tangga dapat diperkasakan.

Hanya dengan menjadikan agama Islam sebagai tonggak utama dalam rumah tangga, maka pasangan akan dikurniakan kebahagiaan dan keberkatan daripada Allah SWT. Keluarga yang menjadikan Islam sebagai asas perjalanan rumah tangga akan sentiasa melakukan kebaikan dalam kehidupan.

Natijahnya, mereka akan memperoleh kebahagiaan seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud, “Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka kerjakan”. (Surah al-Nahl 16:97).

Kehidupan rumah tangga semakin menampakkan kebergantungan pada agama apabila dikurniakan cahaya mata. Hal ini dapat diperhatikan apabila pasangan mula mencari nama yang baik untuk cahaya mata mereka. Mungkin nama mereka sendiri tidak mempunyai makna yang baik, namun mereka akan memastikan cahaya mata mereka mendapat nama yang baik.

Rasulullah SAW bersabda mengingatkan kepentingan memberikan nama yang baik untuk anak yang bermaksud, “Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama bapa kalian, maka perelokkanlah nama kalian”. (Hadis riwayat al-Baihaqi, al-Sunan al-Kabir li al-Baihaqi, Kitab al-Dahaya, no. 17724).

Walau bagaimanapun, dalam usaha memberikan nama yang baik untuk anak-anak, setiap ibu bapa perlu memahami bahawa yang dimaksudkan dengan nama yang baik ialah nama yang bermaksud baik. Nama tersebut tidak semestinya dalam bahasa Arab.

Selain itu, perlu difahami bahawa usaha mengaitkan sebutan nama tertentu yang hakikatnya tidak mempunyai kaitan pun dengan bahasa Arab, tetapi diusahakan agar mempunyai maksud dalam bahasa Arab merupakan perbuatan yang tidak tepat. Di sinilah perlunya pasangan ibu bapa memahami maksud sebenar setiap tuntutan dalam Islam agar tidak disalahfahami.

Sebenarnya kesilapan meletakkan nama anak dengan nama yang tidak baik berpunca daripada keadaan ibu bapa yang tidak menghayati tuntutan Islam. Oleh itu, ilmu berkaitan dengan agama perlu menjadi keutamaan bagi ibu bapa, khususnya ketika ingin menjalankan tanggungjawab terhadap zuriat walau untuk meletakkan nama sekalipun.

Rasulullah SAW pernah menukar nama anak perempuan Sayidina Umar al-Khattab kerana nama tersebut membawa makna yang tidak baik. Seorang daripada puteri Umar al-Khattab ada yang diberi nama ‘Asiyah (wanita yang derhaka). Kemudian diganti oleh Baginda dengan nama Jamilah. (Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Adab, no. 4104).

Urusan sebegini bukan sesuatu yang kecil kerana nama yang baik merupakan satu doa untuk anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu memahami perkara yang ditentukan oleh ajaran Islam dalam urusan mendidik anak-anak bermula dengan pemberian nama yang baik untuk mereka.

Perkara yang lebih utama dalam urusan mendidik anak adalah dengan memberikan didikan secara Islam. Hanya dengan pengetahuan agama yang betul, maka ibu bapa dapat melaksanakan tanggungjawab mendidik anak mereka dengan didikan Islam. Dalam bab solat contohnya, ibu bapa yang tidak menunaikan solat pasti tidak dapat mendidik anak mereka untuk menunaikan ibadat solat seperti yang diwajibkan oleh Allah SWT.

Ingatlah bahawa urusan mendidik anak agar menunaikan solat telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud, “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya tidak solat) ketika mereka berusia 10 tahun.” (Hadis riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Salah, no. 495).

Sememangnya, kehidupan berumah tangga memerlukan ilmu agama bagi memastikan perjalanan kehidupan sentiasa berlandaskan syariat Islam. Segala perkara asas yang ditetapkan oleh ajaran agama Islam mampu dilaksanakan oleh setiap Muslim sekiranya mereka benar-benar berpegang pada ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Fitrah manusia sememangnya akan mencari agama ketika berada dalam kesusahan. Maka itu, usahlah tunggu sehingga diri berdepan dengan kesusahan untuk kembali kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa membuka peluang kepada setiap hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya. Firman-Nya yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Aku (Allah) yang amat memberi pengampunan kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Taha 20:82).

Ayuh, dampingilah agama Islam sebelum datangnya sebarang kesusahan dalam kehidupan akan datang! Jangan menunggu waktu hampir untuk berumah tangga, baru sibuk menelaah buku agama atau merujuk Google untuk mengetahui perkara asas berkaitan dengan agama. Mulakan sekarang dengan menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dengan melaksanakan segala tuntutannya dan meninggalkan semua larangannya.


Mohd Shahrizal Nasir ialah pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.