18 Mac 2021, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perjalanan agung seorang hamba bertemu Penciptanya di langit ke tujuh dalam tempoh satu malam kerap diulang siar melalui bicara lisan atau tulisan oleh manusia semenjak peristiwa luar biasa itu terjadi lebih seribu tahun dahulu. Seakan-akan tidak jemu kisah ini diperkatakan, diperdebat dan dikaji oleh kawan dan lawan, malah memberikan inspirasi kepada sebahagian yang lain tentang betapa anehnya kisah seorang manusia yang hidup pada zaman unta dapat menaiki kenderaan yang berkelajuan cahaya sepantas kilat. Perjalanannya memetakan kisah, sejarah dan ibrah buat seluruh alam.

Maha Suci Allah yang menyingkatkan masa peristiwa ini dengan membawa hamba-Nya yang paling dikasihi, Muhammad bin Abdullah, dalam perjalanan istimewa bumi ke bumi dan bumi ke langit untuk menerima perintah solat, seterusnya mencabar akal kewarasan, kecerdikan dan kepercayaan manusia bagi menzahirkan keimanan sebenar insan.

Lantaran itu, ada pihak pula yang menyiapkan skrip kebencian dan kesangsian bermula daripada ‘Amr bin Hisyam atau dikenali sebagai Abu Jahal yang memberikan persepsi negatif kepada baginda dan memporakperandakan iman umat Islam dengan tajuk propaganda “Muhammad telah berbohong”. Lantas, bukan sedikit mereka yang sudah Islam berpatah balik menjadi murtad, dan tidak kurang pula yang mulai sangsi. Sedangkan sebelum itu mereka sendiri mengangkat dan mengiktiraf Muhammad sebagai al-Amin, iaitu yang dipercayai.

Pada hakikatnya, Israk dan Mikraj tetap menjadi mukjizat hebat Rasulullah SAW. Suatu peristiwa yang menjelaskan hubungan antara tuan dengan hamba, siapa hebat dan siapa tiada upaya, siapa berkuasa dan siapa lemah, serta membezakan antara khalik dengan makhluk. Peristiwa tersebut mengandungi 1001 hikmah yang akan terungkap dan tersingkap bagi mereka yang mencari kebenaran sehingga berakhirnya dunia ini.

Melihat sudut pandang dunia hari ini, peristiwa Israk dan Mikraj memperlihatkan pelbagai pengajaran merangkumi teknologi avionik, teknologi angkasa dan teknologi pembedahan jantung. Di samping itu, peristiwa ini turut menegaskan dan mengingatkan akan tanggungjawab pemimpin untuk tidak menerima sesuatu perintah secara mutlak, tetapi wajib berusaha untuk berunding walaupun dengan pihak yang tertinggi. Apatah lagi jika arahan yang diterima berpotensi membebankan jemaah yang berada di bawah tanggungjawab pemimpin.

Walau bagaimanapun, dalam peristiwa ini ada seorang insan yang perlu kita contohi jejak langkahnya. Sebelum memeluk Islam namanya ialah Abdul Ka‘abah atau hamba Ka‘abah. Setelah beliau menyerah diri kepada Allah dan Rasul, nama tersebut telah ditukar menjadi Abdullah bermaksud hamba Allah. Ayahnya bernama Abi Quhafah daripada Bani Tamim yang mempunyai nama, harta dan pengaruh yang tersendiri. Namun begitu, nama Abdullah bin Abi Quhafah dan batang tubuh ini ditenggelamkan oleh nama yang lebih masyhur, iaitu Abu Bakr atau Abu Bakar.

Asal usul perkataan bakr  ada dua cara sebutan, iaitu bikrin, iaitu anak dara dan bakrin, iaitu unta muda. Bikrin kerana beliau bapa kepada anak dara yang menjadi ummu al-mu’minin, iaitu Sayidatina Aisyah r.anha, manakala Bakrin kerana beliau suka menternak unta dan seorang hartawan. Nama bakr atau bakrin inilah meniti dari bibir ke bibir manusia dulu, kini dan selamanya. Orang Melayu mudah menyebutnya “Abu Bakar” yang sebenarnya tidak berlaku dalam sebutan orang Arab.

Beliau mendapat tempat tertinggi di sisi Rasulullah SAW sehingga sosok itu dinyatakan dalam sabda baginda ketika ditanya siapakah lelaki yang paling dicintai? Baginda menjawab, “Abu Bakar. Sesungguhnya Allah telah menjadikan aku sebagai kekasih-Nya, sebagaimana Dia menjadikan Ibrahim sebagai kekasih-Nya. Dan jika aku mengambil daripada umatku sebagai kekasih, akan aku jadikan Abu Bakar sebagai kekasih”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Nama Abu Bakar kemudiannya dikuatkan dengan timbangan dan gelaran al-Siddiq bermaksud yang membenarkan. Satu-satunya panggilan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kerana membenarkan peristiwa luar biasa Israk dan Mikraj. Beliau juga peneman Baginda dalam peristiwa hijrah ke Madinah dan dirakamkan dalam al-Quran sewaktu mereka bersembunyi di dalam Gua Thur, seperti firman Allah SWT yang bermaksud, “… iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya, Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” (Surah al-Tawbah 9:40).

Selain itu, beliau juga seorang saudagar unta yang pernah bertaruh 100 ekor unta atas kepercayaannya apabila mendengar janji Allah SWT bahawa Rom akan mengalahkan kembali Parsi dalam tempoh kurang sembilan tahun. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Telah dikalahkan bangsa Rum. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun lagi, bagi Allah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan pada hari (kemenangan bangsa Rum) itu bergembiralah orang-orang yang beriman”. (Surah al-Rum 30:2-4).

Sikap percaya dan berpegang pada kebenaran, berani, dermawan dan berpandangan jauh telah hilang dalam diri umat Islam. Dalam kitab Hikam dibincangkan dalam bab “Pengertian Janji Allah SWT”, iaitu “Jangan sampai meragukan kamu terhadap janji Allah SWT kerana tidak terlaksana apa-apa yang telah dijanjikan, meskipun telah tertentu (tiba) masanya, supaya keraguan itu tidak merosakkan mata hati kamu dan tidak memadamkan cahaya sir (rahsia atau batin) kamu”.

Mengenali susuk seorang sahabat Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a, nama yang kekal hebat hingga kiamat yang sangat hebat makrifatnya dalam beberapa perkara yang perlu diteladani oleh umat Islam kini.

Sehebat orangnya, beliau merupakan lelaki dewasa pertama memeluk Islam. Sikap beliau membenarkan dengan yakin peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ketika manusia tercari-cari jawapan dan logik perkara yang disifatkan di luar pemikiran manusia yang waras. Sama halnya pada hari ini, ketika manusia tercari-cari jawapan tentang kebenaran Islam dan keimanan kepada seorang nabi yang bernama Muhammad, mereka menghadapi krisis tentang agama. Malah, wujud ajaran sesat dan agama baharu yang jelas menyimpang daripada akidah Islam yang dicintai.

Tanpa kompromi, keyakinan Sayidina Abu Bakar mempercayai zahir dan batin kebenaran Ilahi hendaklah dijadikan contoh dan tanda aras. Krisis keyakinan umat Islam kepada agama yang dianuti menunjukkan lemahnya iman dan kurang kefahaman terhadap agama Islam. Akibat kegoyahan seperti ini, ajaran sesat sentiasa mengasak memecahbelahkan masyarakat dan keimanan ummah, walau ketika manusia diuji dengan musibah pendemik COVID-19 yang masih menggila.

Makrifat kedua yang perlu ada dalam diri umat Islam ialah keberanian seperti Sayidina Abu Bakar. Keberaniannya tidak melulu dan tidak bersebab. Akidah yang kukuh tersemat di batin dan luarannya hingga sanggup menzahirkan keimanan sewaktu zaman permulaan Islam di Makkah ketika manusia menyembunyikannya. Beliau berani menerima ajakan Rasulullah SAW untuk menjadi teman dalam perjalanan yang penuh risiko semasa peristiwa hijrah. Semasa Perang Badar al-Kubra, iaitu peperangan pertama dalam Islam, beliau juga yang melindungi dan menemani Baginda daripada ancaman musyrikin, sedangkan orang lain tidak sanggup melakukannya.

Semestinya, keberanian perlu disemat dalam diri umat Islam untuk berjuang demi agama, serta memberikan kebaikan dan manfaat untuk manusia yang lain. Tajdid yang membibitkan islah atau transformasi juga memerlukan keberanian. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Min Ajli Sahwah Rashidah Tujaddidu al-Din wa Tanhadu bi al-Dunya menyebut, al-Azizi mentakrifkan tajdid sebagai menghidupkan setiap yang dipelajari daripada al-Quran dan sunah dan perkara yang bersesuaian dengan kedua-duanya. Tajdid ini menjurus kepada tajdid amal. Sudah sampai masanya kita menjadi ummah Rabbani yang beramal dengan al-Quran dan sunah.

Di samping itu, makrifat dan kehebatan khalifah pertama ini juga dapat dilihat melalui sikap kedermawanannya. Beliau mendermakan semua hartanya untuk Perang Tabuk. Apabila ditanya oleh Rasulullah SAW, “Apakah yang tinggal lagi untuk keluargamu?” Beliau menjawab, “Aku tinggalkan kepada mereka Allah dan Rasul-Nya”.

Tidak dinafikan terdapat orang Islam yang kaya raya dan mempunyai aset yang banyak. Kesedaran membayar zakat, bersedekah, berinfak dan berwakaf perlu menjadi agenda utama untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam sehingga dapat memusnahkan sistem riba dan kapitalis yamng sekian lama bertapak dalam dunia ekonomi.

Makrifat yang keempat ialah beliau bersedih ketika orang lain bergembira apabila Rasulullah SAW menyatakan bahawa Islam telah sempurna dalam khutbah terakhir Baginda semasa Haji Wida’ di Arafah. Firasatnya begitu kuat merasakan bahawa Rasulullah SAW akan pergi meninggalkan umat untuk selama-lamanya selepas misi Baginda selesai.

Malangnya, pada hari ini, bacaan masa depan umat Islam amat lemah. Selain pergaduhan dan perpecahan sesama sendiri, umat Islam banyak ketinggalan dalam banyak bidang ilmu dan hanya menjadi pengikut kepada kemajuan dan ilmu yang diolah oleh orang lain. Oleh hal yang demikian, kebolehan menjangka dalam diri umat Islam perlu ada sebagai strategi untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh.

Oleh itu, tidak terlewat untuk kita mengikut jejak sahabat utama Rasulullah SAW yang dijamin syurga yang tertinggi ini. Tidak hairanlah bahawa sayidina Umar al-Khattab pernah berkata, “Seandainya keimanan Abu Bakar ditimbang dengan keimanan seluruh umat ini, maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar”.

Sememangnya, setiap perkara baik dirasai dan dilihat melalui mata hatinya melalui peristiwa Israk dan Mikraj, serta peristiwa lain telah menonjolkan makrifat Sayidina Abu Bakar r.a. Keperibadian dan kehebatan seperti Sayidina Abu Bakar ini yang perlu diteladani untuk kita memperbanyak amalan dan mempersiapkan diri menghadapi ujian mendatang.

Penulis ialah Penolong Pengarah Kanan Takmir, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.